Agama mungkin Islam, tetapi kehidupan tidak menggambarkan sedemikian. Gambaran luaran tidak mencerminkan akhlak peribadi seorang mu’min.
Hisap rokok, tidak menutup aurat, mencarut, suka tengok perkara yang haram, tidak menjaga solat, dan sebagainya.
Ramai ‘orang agama’, bertemu dengan manusia sebegini, akan terus menjauhi mereka. Memanggil mereka ini ‘pendosa’, ‘orang jahiliyyah’, dan ‘mereka yang tidak mendapat hidayah’. Dijauhi, kerana ‘takut terpengaruh’. Bahkan dicerca-cerca, hingga ada yang melabel mereka ini ‘ahli neraka’, serta berbicara seakan-akan mereka ini tiada lagi harapan sebagai hambaNya.
Kita kadangkala terlupa, mereka juga manusia seperti kita.
Dakwah Itu Mendekati, Bukan Meninggalkan.
Dakwah itu hakikatnya mendekati. Bukan meninggalkan. Rasulullah SAW tidak meninggalkan Abu Jahal sebelum berusaha bersungguh-sungguh mendakwahnya. Bahkan Allah SWT sendiri berfirman bahawa Dia tidak akan sesekali mengazab sesuatu kaum, sebelum Dia menghantarkan RasulNya untuk memberikan peringatan.
“Dan tiadalah Kami ini menjadi pemberi azab, hinggalah Kami menghantar Rasul(untuk memberikan peringatan)” Surah Al-Isra’ ayat 15.
Maka dakwah itu mendekati, bukan sesekali meninggalkan. Dakwah itu menyelami, bukan semata-mata di permukaan. Kerana itu di dalam dakwah, ada ta’aruf, perkenalan, agar kita mengenali betul-betul objek/target dakwah kita. Bukan semata-mata berdiri di hadapannya memberikan ceramah, atau memberikan ancaman terhadapnya semata-mata.
Kadangkala, Mereka Bersikap Sedemikian Bukan Kerana Mereka Mahu.
Kita mungkin beruntung, lahir daripad keluarga muslim, tadika di tadika Islam, sekolah rendah dan menengah di sekolah rendah dan menengah Islamik, seterusnya menyambung pula pengajian ke timur tengah, belajar pengajian Islam. Atau mungkin Allah berikan kita rezeki untuk duduk di dalam sistem dakwah dan tarbiyah, ikut usrah, mendalami Islam serta memahami dakwah.
Tetapi kita perlu faham bahawa ada di dalam dunia ini orang yang tidak seperti kita.
Mungkin lahir dalam keluarga muslim, tetapi Ibu Bapanya tidak memahami Islam sebagaimana Ibu Bapa kita. Membesar dalam suasana yang bukan bi’ah solehah, seterusnya guru-guru yang mendidiknya tidak pernah memperkenalkannya dengan Allah SWT, mengaitkan Allah SWT dalam kehidupannya, dan orang di sekelilingnya tidak pernah menitik beratkan perihal ketaatan kepada Allah SWT. Dia pula bukan belajar agama, tidak mendalami agama. Kemudian, yang baik dengan dirinya adalah orang yang sedemikian juga. Yang ambil berat akan keadaannya, yang menyayanginya dan mengasihinya adalah orang yang sedemikian juga.
Maka keluarlah dia daripada sistem itu menjadi dia yang sekarang. Maksiat itu padanya bukan maksiat. Padanya perkara ‘biasa’. Itu dari kaca matanya. Dia bukan mahu sedemikian, namun itulah ‘dunia’ yang dikenalinya.
Maka sekiranya pendakwah, orang yang mengenali Islam hanya tahu hendak meninggalkan mereka, hanya tahu hendak menyatakan mereka ini berdosa, hanya tahu hendak menerakakan mereka, maka siapa yang boleh hendak menarik mereka keluar dari ‘dunia’ mereka?
Kadangkala Kita Larut Dengan Kelebihan Kita, Dan Terlupa Mereka Juga Manusia.
Kadangkala, kita yang diberikan kelebihan kefahaman Islam dan kehidupan Islam ini lemas dalam kelebihan kita. Kita lebih kenal Allah SWT, sepatutnya kita lebih rendah hati. Tetapi kita menjadi lebih bongkak, hingga merendah-rendahkan orang lain yang tidak mendapat nikmat yang sama, orang lain yang tidak memahami fikrah seperti kita.
Sedangkan, mereka itu manusia juga. Mereka memerlukan hidayah Allah SWT ini. Mereka perlu orang yang berusaha bersungguh-sungguh menarik mereka dengan cara yang kena dengan mereka.
Tetapi kadangkala kerana kita larut dengan ‘kelebihan’ kita, maka kita kasar dengan mereka. Kita memandang mereka dengan penuh kebencian. Kita jadikan mereka tersisih dari komuniti kebaikan kita, kita jadikan mereka ini ‘jijik’, ibarat ‘najis’, dan kita jauhkan mereka dari kehidupan kita. Kita tidak dekati, kita tidak selami dan fahami.
Kadangkala kita tidak sedar, bahawa kalaulah bukan kerana belas kasih Allah SWT kepada kita, maka kita juga adalah seperti mereka sahaja.
Satu Kisah Sebagai Teladan.
Saya suka mengulang kisah seorang Muslim dan seorang Nasrani. Yang berselisih di satu jalan. Nasrani itu telah terlanggar Muslim tersebut. Membuatkan Muslim tersebut marah, lantas berkata: “Nerakalah untukmu wahai Nasrani!”
Kata-kata itu membuatkan Nasrani tersebut menoleh, dan berkata: “Apakah neraka itu di tangan engkau wahai Muslim? Maka saksikanlah bahawa aku ini bersaksi Allah itu adalah Tuhan, dan Muhammad itu adalah UtusanNya.”
Muslim itu tergamam. Kemudian meneruskan perjalanannya. Nasrani itu juga meneruskan perjalanannya.
Di tengah perjalanan, Muslim itu melalui sebuah rumah, dan terpandang seorang perempuan di balik tingkap. Sangat cantik. Sangat lawa. Akhirnya kerana tertawan, dia pergi ke rumah tersebut bertemu bapa si perempuan. Bapa Si Perempuan berkata:
“Boleh kau kahwini anak perempuanku, dengan syarat engkau masuk agamaku(Nasrani), dan mengembala khinzir-khinzirku.”
Oleh kerana telah kemaruk dengan kecantikan perempuan itu, Si Muslim bersetuju.
Beberapa tahun selepas itu, Nasrani yang telah Muslim pulang dari jalan yang dilaluinya, melewati ladang Khinzir tempat Muslim yang telah menjadi Nasrani mengembala. Melihat wajah Si Pengembala, Nasrani Yang Telah Muslim terkejut lantas berkata:
“Bukankah engkau Muslim yang berlanggar denganku beberapa tahun dahulu?”
“Benar. Allah telah menukarkan tempat kita.”
Kisah ini, saya tidak pasti kesohihannya. Namun benar-benar menjadi motivasi dan peringatan. Bahawa hidayah itu bukan hak milik kita. Allah SWT jugalah pemilik hidayah. Maka jangan kita bongkak dengan hidayah yang kita ada. Jangan sesekali kita merendah-rendahkan orang lain yang belum mendapat hidayahNya. Tetapi apa yang perlu kita usahakan adalah mendekati, selagi mana mereka belum menentang, menzalimi dan mengancam kita.
Penutup: Jadi Bergeraklah, Dekati Mereka, Berikan Masa, Mencuba dan Terus Mencuba.
Menyelami dunia mereka yang tidak Allah SWT berikan rezeki untuk membesar dengan kefahaman Islam, suasana yang Islamik, mendalami Islam dan sebagainya, kita perlu punya jiwa yang lembut untuk menarik mereka. Jiwa yang luas untuk menerima kekurangan mereka.
Kita jangan terlalu cepat hendak menghukum dan meninggalkan mereka. Kita belajar daripada Yunus AS, kala dia berputus asa pada kaumnya dan berlari meninggalkan mereka. Terus Allah SWT hukum dengan Yunus AS ditelan Ikan Paus. Begitulah Allah SWT tidak menyukai mereka yang berputus asa dalam mengajak kepadaNya.
Teruskan usaha. Dekati. Pandanglah dengan pandangan rahmat. Tunjukkanlah jalan taubat dan pengampunan Allah SWT yang luas.
Jangan dicaci, jangan dihina.
“Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui akan orangyang sesat dari jalanNya, dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayah pertunjuk.” Surah An-Nahl ayat 125.
Berikanlah masa, terus cuba dan mencuba.
Cuba dan terus mencuba.
Hinggalah berlaku kepada kita dan mereka empat perkara:
- Kamu mati.
- Dia mati.
- Matahari terbit dari barat.
- Dia berubah.
Sumber: http://langitilahi.com/8668
#Semoga Allah redha..^^
No comments:
Post a Comment